Friday, April 24, 2020

Approaching 26: Kegembiraan dan kedukaan

Kurang dua minggu lagi umur aku akan mencecah 26 tahun mengikut kalendar Masihi. Semakin lama aku hidup, semakin aku mencintai diri sendiri. Itu yang aku selalu cakap kat orang dari dulu dan benda tu tak pernah berubah pun setakat ni. Jujurnya, aku tak pernah sangka yang aku enjoy dengan kedewasaan memandangkan aku sangat-sangat konservatif sejak sekolah. Tapi kedukaan yang didatangkan sepanjang kedewasaan ini yang selalu buat aku fikir untuk menikmati waktu kegembiraan aku yang pada orang lain mungkin tak setara mana. Mungkin itu yang menyebabkan aku jatuh cinta pada diri, sebab aku kuat untuk menghadapi waktu kelam.

Jika lihat di mata kasar, tidak selayaknya aku menyayangi diri sendiri - masih belum dapat kerja tetap, masih belum menemui teman hidup, masih tiada aset, tiada insurans. Yang aku ada cuma kertas sijil yang mampu membawa aku masuk dalam dunia pekerjaan - namun dengan umur yang sudah lanjut dan kurang pengalaman, amatlah tidak mudah bagi aku untuk masuk dalam dunia pekerjaan yang sangat kompetitif.

Tapi aku tetap mencintai diri sendiri.

Aku suka bila aku tak terkesan dengan jutaan kritikan fizikal pada diriku dan tetap menganggap diri aku secantik-cantik manusia.

Aku suka bila aku ketagih kasih sayang pada orang tapi aku tak dapat kasih sayang yang aku nak, sebab kalau aku dapat kasih sayang yang aku minta, mesti aku rasa cukup tanpa kasih sayang yang lebih hakiki.

Aku suka bila aku dapat terima kegagalan yang pahit, sebab aku percaya ini cuma jalan pada kejayaan sebenar. Aku sangat-sangat percaya pada kepastian kejayaan meski aku menerima kegagalan sehingga lanjut usia pun.

Kecintaan aku pada diri ini, semoga dapat aku didik diri bahawa kecintaan ini bukanlah sifat keakuan, tapi anugerah yang diberikan dari Allah.

Namun, kedewasaan ini sangat menyakitkan bila perkara lazim dalam kehidupan kita hilang. Sejak umur aku 19, berturut-turut orang dalam hidup aku pergi. Bermula dengan Jiddah Fatma, sampailah Ami Umar semalam. Aku tak pernah sangka aku sangat terkesan dengan peninggalan Ami Umar sampai macam ni. Mungkin meninggalnya Ami Umar menyebabkan aku rewind balik semua roh-roh yang pernah bersama aku di bumi. Aku fikir mesti roh di situ sudah berjumpa dengan yang sana dan roh di sana sudah berjumpa disitu. Jika ditakdirkan pengambilan roh aku suatu hari nanti, aku sudah kenal sekumpulan roh yang pernah bersama dengan aku di alam ini untuk aku jumpa di sana. Seolah-olah kumpulan keluargaku sudah terbahagi kepada dua alam.

Sebab fikir benda ni, aku khuatir bagaimana jika ada yang tertinggal masuk di lembah jahannam? Bagaimana jika yang tertinggal itu aku? 

Kedewasaan ini mengajar aku, yang aku paling perlukan dalam dunia ini adalah kasih sayang. Kasih sayang manusia tidak pernah mencapai apa yang aku nak, sebab mereka juga ada kehidupan mereka  sendiri. Maka, aku sangat memikirkan kasih sayang yang lebih hakiki, tanpa menidakkan kasih sayang orang sekeliling aku. Jadi aku fikir, kat syurga nanti, walaupun indahnya ciptaan syurga itu, sudah tentu love will transcend all of that. Kerna itu, syurga tanpa kehadiran Rasulullah itu masih belum cukup. Dan neraka itu walau sakit sekali azabnya, yang paling sakit sekali adalah ketidakhadiran Rasulullah di sisi.

Sebab itu, keinginan syurga itu lebih kuat kerana cinta. Cinta untuk berkumpul dengan orang yang kita cinta, dan bertemu dengan Sang Maha Cinta. Itu yang membuatkan manusia lebih memerlukan syurga. 

Mencecah 26, pertemuan dengan cinta itu semakin hampir. Semoga aku tidak menyia-nyiakan umur aku yang berbaki, supaya terpisahnya roh aku dari jasad menemukan aku dengan mereka yang aku cinta.

"Fikirkan indah tentang syurga, seakan-akan di sana. Berkhayal semua tentang jiwa.. Ku tenang" -Fourtwnty

No comments:

Post a Comment